Dilarang Berpuasa Sunat Selepas 15 Sya'aban


Dilarang Berpuasa Sunat Selepas 15 Sya'aban


عن أَبي هريرة رضي الله عنه قال: قَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((إِذَا بَقِيَ نِصْفٌ مِنْ شَعْبَانَ فَلا تَصُومُوا)). رواه الترمذي، وقال: (حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحيحٌ).

TERJEMAHAN


Dari Abu Hurairah رضي الله عنه melaporkan: sabda RasululLah صلى الله عليه وسلم: "Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya'ban maka janganlah kamu semua berpuasa." 

(Mafhum HR At Tirmidzi dan katanya hadith ini hasan sahih)

PENGAJARAN


1. Umat Islam disunatkan untuk memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Sya'ban berdasarkan amalan RasululLah sendiri,

2. Tetapi jika dia tidak pernah berpuasa sebelum 15 Sya'ban, dia tidak digalakkan untuk berpuasa kecuali jika ada puasa qadha' dan/atau nazar yang perlu ditunaikan (maka bolehlah dia berpuasa),

3. Antara hikmah larangan adalah untuk memberi keringanan kepada mereka yang jarang berpuasa agar tidak merasakan kewajipan puasa Ramadhan adalah suatu yang membebankan. Ini terbukti jika mereka memulakan puasa sunat pada pertengahan Sya'ban diikuti puasa Ramadhan selama sebulan akan menyebabkan mereka rasa terbeban dengan perintah puasa kerana tempohnya terlalu lama. Sedangkan ini adalah kesilapan mereka yang memulakan puasa pada pertengahan Sya'ban...

والله أعلم

Puasa Sebagai Pelindung Diri



عن أَبي هريرة رضي الله عنه قال: قَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم:((قَالَ اللهُ- عز وجل:..وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ، فَإذَا كَانَ يَومُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلا يَرْفُثْ وَلا يَصْخَبْ، فإنْ سَابَّهُ أحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ: إنِّي صَائِمٌ...)) رواه مسلم

TERJEMAHAN

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه melaporkan: sabda RasululLah صلى الله عليه وسلم:"Firman Allah 'Azza wa Jalla (dalam hadith qudsi)... Puasa adalah perisai. Oleh itu pada hari yang seseorang kamu berpuasa maka janganlah dia mengeluarkan kata-kata keji dan kesat. (Hatta) jika ada orang yang memaki hamun atau mengajaknya bergaduh maka hendaklah dia katakan: Sesungguhnya aku sedang berpuasa..." 
(Mafhum HR Al Bukhari)

PENGAJARAN

1. Ibarat seorang tentera yang mempersiapkan diri dengan kelengkapan menentang musuh, orang yang berpuasa adalah seorang yang melengkapkan dirinya dengan perisai yang dapat melindunginya daripada tipu daya hawa nafsu dan godaan syaitan yang jahat

2. Kata Ibnu Al 'Arabi: Puasa merupakan perisai daripada azab neraka kerana orang yang berpuasa menahan diri daripada mengikut syahwat kerana neraka itu dihiasi oleh syahwat. Berkata Ibnu Hajar: Maka hasilnya jika seorang dapat menegah diri daripada mengikut telunjuk hawa nafsu di dunia, maka ia merupakan perisai daripada azab neraka di Akhirat.

3. Tiadalah kejayaan yang terbesar di Akhirat selain daripada selamat daripada neraka dan layak untuk menduduki syurga dengan segala kenikmatannya.

Naluri Mukmin Tidak Pernah Puas Dengan Kebaikan


Naluri Mukmin Tidak Pernah Puas Dengan Kebaikan


عن أَبي سعيدٍ الخدري رضي الله عنه عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قَالَ: ((لَنْ يَشْبَعَ مُؤْمِنٌ مِنْ خَيْرٍ حَتَّى يَكُونَ مُنْتَهَاهُ الجَنَّةَ)). رواه الترمذي وقال: (حديث حسن).

TERJEMAHAN HADITH


Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a dari Rasulullah S.A.W bersabda:

"Orang Mukmin tidak akan puas dengan kebaikan sehinggalah yang menjadi penyudah baginya adalah syurga."
Mafhum HR At Tirmizi

PENGAJARAN HADITH


1. Kebaikan adalah setiap perkara yang mendekatkan diri kepada Allah Taala (dengan mendapat ganjaran pahala) dan sebaik-baik kebaikan adalah mendalami ilmu agama.

2. Dalam sesetengah athar menyatakn dua golongan yang tidak pernah merasa puas dan mereka sangat berbeza: golongan penuntut ilmu dan golongan pemburu (habuan) dunia.